Friday, May 27, 2011

AKHLAK TETAP NO.1

 Kisah Saidina Ali r.a.....

           Suatu hari Saidina Ali r.a. pergi ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat fardhu Subuh berjemaah dan diimamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Dalam perjalanannya, dia telah bertemu dengan seorang yang telah lanjut usianya sedang berjalan menuju ke arah yang sama dengan memakai tongkat dan pergerakannya sangat perlahan. Saidina Ali pun memperlahankan perjalanan dan mengikutinya dari belakang untuk menjaga hati orang tua tersebut walaupun dia tahu bahawa dia telah lewat untuk datang ke masjid.
      
            Celakanya, orang tua tersebut merupakan orang Nasrani dan tujuannya bukanlah untuk ke masjid. Saidina Ali pun bergegas menuju ke masjid dan meninggalkan orang tua tersebut. Sesampai sahaja di masjid,semua jemaah telah pun memulakan solat diimami oleh Rasulullah s.a.w. dan berada dalam keadaan rukuk. Rasulullah s.a.w juga telah membuat rukuk yang sangat lama untuk menunggu Saidina Ali supaya dapat mengikuti solat tersebut bersama-sama. 

            Selesai sahaja solat tersebut, Saidina Ali pun berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan menanyakan tentang rukuk yang sangat panjang semasa solat tadi: Ya Rasulullah, mengapakah tuan melakukan rukuk yang sangat panjang pada solat sebentar tadi?.Rasulullah s.a.w pun menjawab: Seperti biasa aku akan berdiri selepas melakukan rukuk. Tetapi semasa aku hendak berdiri, Malaikat Jibril telah memegang punggungku dan menahan bahuku.

             Dalam kisah lain menceritakan bahawa Allah s.w.t telah memerintahkan Malaikat Mikail supaya menahan matahari daripada terbit supaya Saidina Ali dapat mengikuti Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat lain menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

             Demikianlah kuasa Allah s.w.t yang memerintahkan malaikat-malaikatnya supaya Saidina Ali r.a dapat menunaikan solat berjemaah kerana akhlaknya yang terpuji. Oleh itu,kita haruslah mencontohi sikap tokoh ini untuk mendapat keredhaan dan ganjaran daripada Allah s.w.t dan supaya dirahmatiNya.
             
              Akhlak dapat membentuk sahsiah dan jati diri yang baik pada diri seseorang dan dapat mengangkat martabat di pandangan masyarakat sekeliling dan Allah s.w.t. Akhlak juga memerlukan hati yang murni supaya apa yang dilakukannya itu adalah baik di pandangan Allah s.w.t dan orang lain dan dikatakan sebagai akhlak.Seperti dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w: Dalam setiap diri manusia terdapat segumpal daging iaitu hati. Jika baik hati itu,maka baiklah seluruh amalannya. Jika buruk hati itu,maka buruklah seluruh amalannya.

Wallahualam...